SPRM tak perlu maklum siasatan Hakim Nazlan kepada Tengku Maimun – penganalisis

SPRM tak perlu maklum siasatan Hakim Nazlan kepada Tengku Maimun – penganalisis

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu memaklumkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung siasatan terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurut penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, ini kerana SPRM adalah sebuah badan bebas dan bukan berada di bawah Badan Kehakiman negara.

Justeru, katanya, kenyataan Tengku Maimun bahawa beliau tidak dimaklumkan berhubung siasatan terhadap Mohd Nazlan oleh SPRM mengelirukan.

“Siasatan terhadap hakim hanya perlu dilaporkan jika dibuat oleh Badan Kehakiman. Tetapi dalam isu ini (Nazlan), SPRM bukan berada di bawah badan ini. Jadi apa keperluan untuk lapor pada Ketua Hakim Negara?

“Sebagai sebuah badan bebas, SPRM tidak perlu melaporkan kepada sesiapa untuk melakukan siasatan waima kepada Perdana Menteri pun.

“Apabila seorang Ketua Hakim Negara membuat kenyataan seumpama ini, ia menunjukkan SPRM tidak bebas,” katanya lapor MalaysiaGazette.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Maimun yang mendakwa tidak dimaklumkan tentang siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan.

Tengku Maimun yang mempengerusikan panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya berkata, siasatan itu mesti dilakukan mengikut protokol tertentu bagi memelihara kebebasan Badan Kehakiman.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, kenyataan yang dibuat oleh Tengku Maimun itu cukup sensitif kerana ia akan memberi tanggapan tidak baik kepadanya dan institusi kehakiman.

Katanya, ia secara tidak langsung menjejaskan kredibilitinya di mata rakyat, sebaliknya meningkatkan kedudukan SPRM yang telus dalam melunaskan tanggungjawabnya berhubung kes Mohd Nazlan yang banyak diperkatakan.

“Pada saya, Ketua Hakim Negara perlu memikul tanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat itu,” katanya. – Malaysiapost

Komen