Status muflis hutang kurang RM50,000 dilepaskan mulai 1 Mac

Status muflis hutang kurang RM50,000 dilepaskan mulai 1 Mac

RAKYAT yang diisytihar muflis berhak diberi peluang kedua, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Kewangan itu berkata, setakat Januari lalu, lebih 260,000 kes muflis telah direkodkan yang membabitkan golongan belia dengan majoritinya adalah orang Melayu.

“Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik dalam masa singkat.

“Sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023, hari ini.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan 130,000 rakyat akan dilepaskan daripada status muflis dengan lulusnya pindaan akta itu.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, golongan banduan juga wajar mendapat peluang kedua.

Katanya, bagi kepentingan dan asimilasi mereka semula ke dalam masyarakat, banduan akan terus diberi latihan secukupnya melalui program Skill for Inmate.

“Majikan juga digalakkan untuk menggaji banduan termasuk bekas penghuni Sekolah Henry Gurney, institusi perlindungan serta pemulihan JKM dan layak mendapat potongan cukai tambahan.

“Program Agro Penjara untuk banduan terlibat dalam aktiviti pertanian yang dilaksanakan di atas tanah penjara seluas 70 hektar akan terus diperkasa dengan peruntukan RM10 juta,” katanya. – Malaysiapost

Komen