Tumpaskan penyeludup ketum, Agong zahir ucapan tahniah kepada ATM

Tumpaskan penyeludup ketum, Agong zahir ucapan tahniah kepada ATM

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan daun ketum di Padang Terap, Kedah kelmarin.

Ucapan tahniah itu dizahirkan khususnya kepada Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) yang berjaya merampas kira-kira satu tan bahan berkenaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Zahari Mohd Ariffin, berkata Seri Paduka Baginda yang juga selaku Pemerintah Tertinggi ATM, bertitah bahawa ketangkasan dan kecekapan anggota pasukan Operasi Tentera Darat ATM itu dalam melaksanakan amanah dan tugas sewajarnya dihargai dan diberi pujian.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan sokongan dan penghargaan terhadap usaha-usaha baik serta tindakan tegas kerajaan dan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan membanteras jenayah rentas sempadan dan sindiket jenayah terancang di sempadan negara.

“Ini adalah kerana kerajaan tidak boleh bertolak ansur terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Seri Paduka Baginda menyeru agar rakyat khususnya agensi penguatkuasaan berkaitan memperhebatkan usaha-usaha membendung aktiviti-aktiviti jenayah tersebut yang meliputi antaranya penyeludupan dadah serta bahan-bahan terlarang, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pencerobohan sempadan negara sama ada daratan mahupun perairan.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama-sama memainkan peranan dan mempunyai kesedaran serta tanggungjawab membantu kerajaan dan agensi-agensi penguatkuasaan membendung kegiatan jenayah sama ada di sempadan negara atau di kawasan masing-masing.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga kedaulatan negara sentiasa dipelihara dan negara serta rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari 22 Februari lalu, pegawai tentera yang mengejar suspek disyaki penyeludup ketum melepaskan beberapa das tembakan sehingga menyebabkan kenderaan dinaiki dua lelaki itu terbabas ke bahu jalan.

Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand itu pada mulanya cuba menghimpit motosikal tentera ketika dikejar.

Dua lelaki warga tempatan diberkas selepas kenderaan berkenaan terbabas ke dalam longkang, mengakibatkan bungkusan daun ketum bertebaran di bahu jalan.

Pemeriksaan oleh anggota tentera terhadap kenderaan pacuan empat roda itu menemukan beberapa lagi bungkusan disyaki berisi daun ketum yang berat keseluruhan mencecah 1 tan dan bernilai kira-kira RM38,000. – Malaysiapost

Komen