UAI tiada tauliah untuk mengajar di Selangor – JAIS
JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus (UAI) tidak mempunyai tauliah mengajar agama Islam di negeri ini.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata pengesahan itu berdasarkan hasil semakan dibuat JAIS.
Menurutnya, JAIS mengambil maklum tentang pembatalan Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus yang dijadualkan pada 26 Februari ini di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.
“Kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)/ JAIS adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuatkuasa di Negeri Selangor.
“Semua individu yang mengajar berkaitan agama Islam di Negeri Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.
“Pihak masjid dan surau juga tidak boleh menjemput individu yang tidak memiliki tauliah mengajar diberikan mengikut Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016,” katanya, hari ini.
Terdahulu, laman Facebook rasmi UAI memaklumkan terpaksa membatalkan kuliah maghrib yang sepatutnya berlangsung di sebuah masjid di Bukit Jelutong, Selangor, Ahad ini.
Katanya, kuliah maghrib itu terpaksa ditukar ke masjid lain di Kuala Lumpur sambil memohon maaf kepada rakyat Selangor.
“Dukacita dimaklumkan bahawa kuliah maghrib perdana UAI yang akan diadakan di Masjid Tengku Ampuan, Bukit Jelutong pada 26 Febuari 2023 (Ahad) terpaksa dibatalkan atas kuasa Jabatan Agama Negeri Selangor (JAIS).
“Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliah di negeri anda,” tulis hantaran itu semalam. – Malaysiapost