74 pencalonan MKT Umno diterima

74 pencalonan MKT Umno diterima

SEBANYAK 74 pencalonan diterima bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada pemilihan parti itu yang berlangsung bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata daripada jumlah itu seramai 55 daripadanya adalah calon muka baharu.

Sebanyak 25 jawatan Ahli MKT perlu diisi bagi pemilihan Umno kali ini.

Menurutnya, seramai 270 calon sudah menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan di peringkat pusat membabitkan MKT, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri dengan sebahagian besar terdiri muka baharu.

“Bagi jawatan Exco Wanita, sebanyak 55 pencalonan diterima dan daripada jumlah itu 39 orang adalah muka baharu. Pemuda pula seramai 96 orang manakala Puteri seramai 45 calon,” katanya.

Katanya, seramai 11,369 calon sudah pun mendaftarkan diri untuk bertanding di peringkat pusat dan juga bahagian di seluruh negara sehingga kelmarin.

Beliau berkata, proses pencalonan berjalan lancar serta menjangkakan peningkatan pencalonan menjelang tarikh akhir proses pendaftaran esok.

Jelasnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan petanda baik kepada proses demokrasi dalam Umno.

“Alhamdulillah proses pendaftaran di peringkat bahagian juga berjalan lancar dan kita berpuas hati,” katanya. – Malaysiapost

Komen