Belanjawan 2023: Anwar sedia dengar kritikan membina

Belanjawan 2023: Anwar sedia dengar kritikan membina

DATUK Seri Anwar Ibrahim sedia mendengar kritikan membina daripada pelbagai pihak berhubung Belanjawan 2023 yang dibentangkan beliau semalam.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Perdana Menteri berharap semua pihak termasuk pengikutnya di media sosial dapat meneliti belanjawan tersebut secara terperinci.

“Saya amat berharap rakan-rakan untuk luang masa menelaah tawaran serta cadangan yang dihidangkan.

“Ini termasuk kritikan yang bermakna agar negara ini dan ekonominya kembali bangkit, segar dan mampan demi segenap lapisan masyarakat,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Belanjawan 2023 memperuntukkan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, manakala RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Ia sekali gus menyaksikan peruntukan Belanjawan 2023 disemak naik kepada RM386.14 bilion daripada RM372.3 bilion pada Oktober 2022.

Sementara itu Perdana Menteri berkata belanjawan dibentangkan selama lebih dua jam semalam mencakup serta menjawab beberapa persoalan mustahak yang sedang didepani kerajaan.

“Permasalahan hutang dan persoalan tatakelola, tantangan semasa dan global serta pengarahan baharu ekonomi, kebajikan serta beberapa prinsip jelas mengenai ketelusan dan pertanggungjawaban.

“Selain penekanan soal merancakkan pertumbuhan dan kos sara hidup yang menghimpit rakyat terbanyak,” katanya. – Malaysiapost

Komen