Belanjawan 2023 indah khabar dari rupa – Wan Fayhsal
HAMBAR dan mengecewakan! Itu rumusan Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal mengenai Belanjawan 2023 dibentangkan kerajaan perpaduan semalam.
Menurut Ahli Parlimen Machang dari Perikatan Nasional (PN) itu, di sebalik bunga-bunga bahasa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, segala janji kononnya Belanjawan 2023 ini akan menghasilkan lonjakan ekonomi tidaklah seperti dicitrakan.
Lebih menyedihkan katanya, amat sedikit disinggung peranan kerajaan untuk membantu ekonomi Melayu dan Bumiputera.
Ini kerana katanya, negeri-negeri majoriti Melayu dan Bumiputera di Semenanjung seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak langsung diberi insentif dan peruntukan pembangunan yang dapat mengubah nasib rakyat.
“Tiada projek pemangkin ekonomi yang mahu disebut walhal keutamaan dari segi keadilan ekonomi adalah di sana seperti dilaporkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.
“Dendam politik juga belum surut: Peruntukan untuk semua Ahli Parlimen pembangkang dinafikan terus. Walhal kami mendapat mandat besar dan jelas daripada rakyat!
“Manifesto Pakatan Harapan (PH) jelas berjanji memberi peruntukan sama adil buat semua wakil rakyat. Nampaknya seperti janji PTPTN dan AUKU dalam manifesto – semua itu dusta belaka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Lebih malang, menurut Wan Ahmad Fayhsal, tiada belas ihsan untuk peneroka FELDA yang mana hutangnya telah Tan Sri Muhyiddin Yassin langsaikan tetapi kini dibatalkan semula.
“Benda baik teruskan saja, mengapa dibuat begini? Adakah kerana majoriti pengundi FELDA memilih PN tempoh hari?
“Lain pula nikmatnya untuk Pulau Pinang diterajui DAP: lapangan terbang dibesarkan tapi untuk Kedah, dibatalkan projek lapangan terbang untuk Kulim yang mampu mengangkat taraf sosio ekonomi dan industri orang Melayu di sana.
“Banyak lagi perkara tempang yang kami akan angkat dan bahaskan minggu hadapan,” katanya. – Malaysiapost