Belanjawan 2023 rancak kitaran ekonomi, M40 nikmati pengurangan cukai
GOLONGAN M40 menikmati pengurangan kadar cukai dua peratus bagi banjaran pendapatan bercukai dari RM35,001 sehingga RM100,000 susulan Belanjawan Madani 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Taqiyuddin Amini Abdul Satar berkata, ia dapat memberi manfaat kepada 2.4 juta pembayar cukai dengan nilai penjimatan dari RM300 bagi banjaran RM35,000 – RM50,000 sehingga RM1,300 bagi banjaran RM70,001-RM100,000.
Beliau menjelaskan, sebenarnya pengurangan kadar cukai ini bukan sahaja memberi manfaat melibatkan golongan M40 tetapi juga mereka di garisan pendapatan T20.
“Ini memberikan manfaat, walaupun tidak menerima Bantuan Tunai Rahmah, mereka mempunyai lebihan pendapatan boleh guna yang akan diterjemahkan dalam peningkatan belanja kepenggunaan sekali gus menyumbang kepada merancakkan kitaran ekonomi negara.
“Ini satu langkah berani penuh ihsan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Taqiyuddin berkata, bagi golongan T20, kerajaan akan menaikkan kadar cukai 0.5 peratus sehingga dua peratus dalam julat banjaran pendapatan bercukai RM100,001 sehingga RM1 juta.
“Hanya sekitar 150,000 pembayar cukai akan terkesan dengan kenaikan ini. Langkah-langkah ini melibatkan akan mengakibatkan kerajaan kekurangan hasil bersih hampir RM1 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata langkah Kerajaan Perpaduan melancarkan semula program pengakuan sukarela adalah satu usaha yang boleh dipuji untuk meningkatkan pematuhan kepada regim percukaian negera sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Kastam Diraja Malaysia (KDRM).
“Tempoh pengampunan pula dipanjangkan bagi Belanjawan kali ini dari 1 Jun 2023 sehingga 31 Disember 2024. Kita dapat melihat kali pertama program pengakuan sukarela ini dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada Belanjawan 2019 telah memberi impak yang positif kepada pungutan hasil negara,” katanya.
Beliau yang juga rakan kongsi kanan MNZWaja Chartered Accountants berkata, kerajaan mengambil pendekatan progresif dalam konteks percukaian untuk meningkatkan hasil percukaian negara dengan beberapa cukai baharu bakal diperkenalkan seperti cukai barangan mewah bermula tahun ini pada kadar tertentu seperti jam tangan mewah, beg tangan dan barangan fesyen gaya hidup.
“Bagi membendung tabiat menghisap rokok elektronik, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
“Kerajaan menyedari penjualan cecair vape secara berleluasa sehingga ke tahap mengekspot produk tersebut dengan nilai anggaran lebih RM2 bilion,” katanya.
Pada masa sama, Taqiyuddin berkata, kerajaan juga mengkaji perkenal Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai 2024.
“Untuk tujuan ini, sesi libat urus akan di adakan dengan pihak terbabit seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Dewan-dewan perniagaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, badan-badan percukaian seperti MATA dan badan-badan professional lain dan sebagainya.
“Cukai keuntungan ke atas keuntungan modal bukan sesuatu yang luar biasa dalam rejim percukaian sesebuah negara. Ia juga telah diamalkan di beberapa negara seperti Hong Kong, Indonesia, Thailand, Filipina, Laos dan Kemboja.
“Menyedari kepentingan Perniagaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS), kadar cukai ke atas kumpulan ini dikurangkan kepada bagi pendapatan bercukai RM150,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus,” katanya.
Taqiyuddin menjelaskan, ini bermakna kadar cukai bagi PMKS mempunyai tiga kadar iaitu bagi pendapatan bercukai sehingga RM150,000 pada kadar 15 peratus seterusnya RM150,001 – RM600,000 pada kadar 17 peratus dan selebihnya pada kadar 24 peratus.
“Ia akan memberi manfaat kepada 150,000 pembayar cukai PMKS. Ini akan memberi penjimatan cukai sekitar RM3,000 sahaja,” katanya. – Malaysiapost