Belanjawan membela rakyat – MB Selangor

Belanjawan membela rakyat – MB Selangor

BELANJAWAN 2023 Malaysia Madani yang dibentangkan semalam adalah usaha kerajaan demi memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelbagai insentif untuk semua golongan termasuk pengurangan cukai dan mengeluarkan individu daripada senarai status muflis.

“Alhamdulillah saya merasakan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) cuba untuk memastikan asas dalam negara kita iaitu rakyat mendapat pembelaan secukupnya.

“Pelbagai inisiatif sama ada pelepasan cukai, mengeluarkan beberapa orang daripada muflis dan juga bantuan yang diisytiharkan termasuk program kesihatan, sampai kepada rakyat dengan sebaik mungkin,” katanya kepada media di Hulu Klang, hari ini.

Amirudin mengulas pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat semalam.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak melihat peruntukan yang disedikan kepada bidang pendidikan juga sebagai sesuatu yang bermanfaat.

“Satu perkara yang sangat baik ialah dorongan dan keinginan kerajaan khususnya untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti sekolah-sekolah yang berada dalam keadaan daif, yang sangat banyak termasuk dalam Selangor.

“Penumpuan semula dalam bidang teknikal dan vokasional juga sesuatu yang amat baik dan ia dijangka akan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja dan sumber manusia yang masih lagi terdapat kekurangan,” katanya. – Malaysiapost

Komen