BERSIH tuntut Anwar tunai janji manifesto PH, beri peruntukan kepada pembangkang
TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak langsung menyatakan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) akan diberikan kepada Ahli Parlimen (MP) pembangkang dalam ucapan Belanjawan 2023 semalam, amat dikesali.
Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata, perkara ini amat dikesali kerana Perdana Menteri terlepas peluang untuk menunjukkan sisi reformisnya dan bagaimana Malaysia Madani akan dilihat.
Justeru, Jawatankuasa Pemandu Bersih berharap kerajaan dan pembangkang duduk bersama dan berunding untuk membawa undang-undang yang akan memastikan peruntukan yang saksama.
“Perikatan Nasional (PN) dengan 74 MP mewakili 4,666,529 pengundi atau 30 peratus daripada jumlah pengundi dalam PRU15.
“Menahan peruntukan CDF ini adalah tidak menghormati pilihan dan hak pengundi untuk mengundi siapa yang mereka ingin mewakili mereka.
“CDF diperlukan oleh MP untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka dengan lebih baik dengan menampung sebarang keperluan pembangunan yang tidak termasuk dalam program kerajaan persekutuan atau negeri.
“CDF juga melingkupi sedikit peruntukan untuk kos pengoperasian pusat khidmat rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, CDF telah lama digunakan oleh kerajaan sebagai alat politik untuk menghukum pembangkang dan ‘membulurkan’ mereka daripada peruntukan yang diperlukan dengan tujuan rakyat akan menolak wakil rakyat pembangkang.
“Peruntukan CDF di kawasan pembangkang sebaliknya disalurkan kepada penyelaras yang tidak dipilih oleh rakyat daripada parti kerajaan (biasanya bakal calon untuk pilihan Raya akan datang) bagi meraih sokongan.
“Taktik sebegini telah digunakan sebelum ini untuk menggoda wakil rakyat pembangkang melompat dan penjajaran semula parti-parti sebagaimana yang kita lihat pasca kejatuhan BN selepas 9 Mei 2018, sehinggalah tandatangan MOU antara kerajaan Ismail Sabri dan PH pada 13 September 20121.
“Malah keadaan ini masih berterusan di Sabah. Siapapun yang benar-benar membenci Langkah Sheraton, mereka sepatutnya membenci diskriminasi peruntukan CDF terhadap Pembangkang, bukan menjerit ketika menjadi mangsa tetapi kemudian melakukan perkara sama apabila berkuasa.
“Taktik ‘membulurkan’ Pembangkang tidak berkesan setiap masa kerana PH tetap cemerlang sebagai pembangkang dulu malah memenangi PRU14 tanpa sebarang peruntukan CDF,” katanya.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH menegaskan, Anwar perlu memastikab janji manifesto PH pada tahun 2022 untuk memberikan peruntukan CDF yang saksama kepada semua MP sekali gus dihormati dalam semangat Malaysia Madani.
“Taktik lapuk ini malah berkemungkinan memakan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya negeri yang akan datang.
“Kami berharap kerajaan Anwar lebih berhikmah untuk tidak meneruskan amalan yang keji, tidak demokratik dan pendek akal ini.
“Oleh sebab kebanyakan parti di Parlimen, sama ada PH, BN, GPS, Warisan yang berada di pihak Kerajaan, atau PN sebagai lembangkang, telah pernah menjadi mangsa dan pemangsa, sudah tiba masanya rundingan damai merentasi parti politik bagi menetapkan peraturan persaingan yang adil antara kerajaan dan pembangkang, agar sama ada kerajaan atau pembangkang tidak dinafikan dengan cara tidak demokratik,” katanya.
Selain itu, Jawatankuasa Pemandu BERSIH juga berharap Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin memainkan peranannya sekiranya kerajaan masih berdegil untuk tidak memberikan peruntukan CDF kepada Ahli Parlimen pembangkang.
“Undang-undang yang memperincikan CDF kepada setiap MP berdasarkan rumus yang saksama perlu menggantikan amalan berasaskan budi bicara Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost