Isham bertanding MKT Umno, mohon mandat akar umbi
KETUA Penerangan Umno, Isham Jalil mengumumkan akan bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada pemilihan parti bagi penggal 2023-2026 bulan depan.
Beliau mengesahkan telah menyerahkan borang pencalonan semalam.
Dalam satu surat terbuka sepanjang 37 perenggan beliau menegaskan, mahu terus membawa suara akar umbi ke peringkat tertinggi parti dan meneruskan perjuangan Umno.
Justeru, katanya, penting untuk beliau mendapat mandat akar umbi yang menjadi keabsahan demokratik pendorongnya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam parti dengan lebih berkesan.
“Saya ingin serahkan kepada akar umbi Umno untuk menentukan sama ada saya layak diberi mandat untuk terus berada dalam MKT.
“Kalah atau menang, saya serahkan sepenuhnya kepada akar umbi dan kepada keizinan Allah SWT.
“Dan sama ada Presiden melantik saya semula sebagai Ketua Penerangan selepas pemilihan ini, saya serah sepenuhnya jua kepada budi bicara beliau dan dengan izin Allah SWT,” katanya.
Isham yang juga Ahli MKT Umno yang dilantik berkata, beliau masih bersama dengan Umno kerana yakin dengan perjuangan parti itu dan kekal bersama walaupun pemimpinnya ditekan serta ditahan.
Malah disebabkan perjuangan, katanya, beliau tidak pernah mengambil gaji dan elaun bulanan ketika menjadi Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor pada tahun 2020 sehingga 2022 selain Ketua Penerangan Umno sejak dilantik dua bulan lepas.
“Saya berjuang bukanlah kerana wang atau jawatan dan saya bukanlah kaki bodek untuk jawatan.
“Selepas beberapa tahun berjuang tanpa apa-apa dan tanpa rasa takut atau mengalah walaupun sentiasa ditekan oleh pihak berkuasa dan berhadapan menentang parti lawan, mungkin Allah SWT telah membuka hati pemimpin-pemimpin Umno untuk melantik saya ke jawatan sebelum ini.
“Saya ucap terima kasih kepada pemimpin-pemimpin parti dan Presiden Umno kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggalas jawatan dalam parti,” katanya.
Selain isu rasuah dan ekonomi, Isham berkata, beliau akan terus memberi tumpuan terhadap masalah air dan banjir.
“Jika kita terus berusaha dan dapat penyelesaian terhadap masalah rasuah, ekonomi, air dan banjir, insya-Allah kehidupan rakyat akan menjadi lebih mudah berbanding kesukaran dialami selama ini.
“Ini adalah perjuangan saya, untuk terus berfikir dan berkhidmat untuk mengurangkan beban rakyat daripada masalah-masalah ini ke arah kehidupan rakyat yang lebih baik.
“Di samping membina dan merubah sistem politik di Malaysia supaya menjadi lebih bersih dan positif. Semoga perjuangan ini diberkati oleh Allah SWT, insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost