‘Kenapa Kelantan, Terengganu tak dilayan sama seperti Sabah, Sarawak’

‘Kenapa Kelantan, Terengganu tak dilayan sama seperti Sabah, Sarawak’

TINDAKAN kerajaan perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan hak Kelantan dan Terengganu menikmati royalti minyak didakwa satu kezaliman.

Ahli Parlimen Machang daripada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan, mengapa kedua-dua negeri pantai timur itu tidak diberi layanan sama seperti dinikmati Sabah dan Sarawak

“Royalti Minyak untuk Terengganu dan Kelantan masih dan tetap dinafikan walaupun Nakhoda kapal Malaysia kini adalah sosok reformis yang pernah berazam dan berjanji mengotakannya.

“Kalau Sabah dan Sarawak dipermudahkan urusan menuntut hak mereka – mengapa tidak untuk Kelantan dan Terengganu?” soalnya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Ketua Armada Bersatu itu berkata, mengabaikan Pantai Timur adalah satu kesilapan besar mana-mana kerajaan Persekutuan kerana masa depan ekonomi negara adalah di sana.

“Mungkin iltizam politik ini hanya mampu terlaksana bila kita ada Perdana Menteri daripada Kelantan dan Terengganu kelak. Barulah kesenjangan Wilayah super-majoriti Melayu-Bumiputera ini terbela dengan adil dan saksama,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal turut membandingkan pemerintahan kerajaan sekarang dengan era ketika Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dahulu.

“YB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi komitmen yang jelas untuk Kelantan dan Terengganu bagi royalti mintak dalam Manifesto PN PRU15.

“Sewaktu 18 bulan mentadbir kerajaan Persekutuan, beliau telah banyak luluskan projek-projek infra buat Kelantan khususnya dalam RMK-12.

“Kezaliman pentadbiran Umno dan BN dahulu ke atas Kelantan adalah sesuatu yang bersifat politik dan kini ianya diteruskan lagi. Tiada beza!” katanya. – Malaysiapost

Komen