Kerjasama erat jayakan unit khas banteras pornografi kanak-kanak
PENUBUHAN unit khas di bawah Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah mampu memberi impak positif dalam usaha membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak.
Justeru, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata PDRM sedia bekerjasama erat dengan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan usaha itu dapat dijayakan bersama.
Beliau bekata, pihaknya turut mengalu-alukan penubuhan unit berkenaan yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023.
“Unit khas berkenaan akan memberikan impak positif terhadap usaha kerajaan dalam membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, PDRM turut menghargai peruntukan RM10 juta sebagai geran pengoperasian bagi mengukuhkan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) mengekang jenayah penipuan dalam talian atau scam.
“PDRM sangat menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan yang akan dinikmati secara langsung oleh mereka,” katanya.
Acryl Sani berkata, peruntukan itu termasuk RM18.5 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi terus memperkukuhkan ketenteraman awam dan menjamin keamanan serta keselamatan negara.
Katanya, hampir RM1 bilion untuk agensi agensi di bawah KDN bagi memperkasakan keselamatan dalam negeri antaranya untuk memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan, selain pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan kuaters polis baharu dengan kos RM450 juta.
“Penambahan 42 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA), Imigresen, Esscom dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) adalah bagi memperketat kawalan sempadan negara.
“Sementara RM500 juta untuk menyelenggara rumah keluarga angkatan tentera dan membaik pulih kuaters kediaman dan institusi di bawah KDN,” katanya.
Beliau memberi jaminan semua peruntukan diumumkan kerajaan melalui Belanjawan 2023 akan dimanfaatkan sepenuhnya. – Malaysiapost