Kes Nazlan: ‘Bola’ kini di kaki Ketua Hakim, Peguam Negara, kata Puad

Kes Nazlan: ‘Bola’ kini di kaki Ketua Hakim, Peguam Negara, kata Puad

JANGAN jadikan “pengasingan kuasa” sebagai imuniti tindakan tidak boleh diambil, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mohd Puad turut mengingatkan jangan kerana Perdana Menteri tidak boleh campur tangan keadilan terus tertangguh.

“Kalau begitu lebih baik dedahkan sahaja hasil siasatan supaya Perdana Menteri dan eksekutif tidak jadi kambing hitam,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mohd Nazlan yang memutuskan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, dibuat tanpa mengikut protokol.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan SPRM menjalankan siasatan terhadap Mohd Nazlan tanpa berunding dengannya terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata ‘bola’ kini di kaki Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara mengenai tindakan terhadap Mohd Nazlan.

“Mereka berdua akan dituduh punca kes ini berlarutan dan keadilan tertangguh jika terus senyap.

“(Datuk Seri) Azalina (Othman) berkata perkara itu tertakluk kepada keputusan Ketua Hakim Negara selaras dengan Fasal-Fasal 3 dan 3A Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Negara pula mempunyai budi bicara memulakan prosiding bagi kesalahan di bawah Fasal 3 Perkara 145.

“Seorang hakim boleh didakwa jika keterangan bagi sesuatu kesalahan memenuhi elemen pertuduhan,” katanya. – Malaysiapost

Komen