‘Kesilapan besar’ tetapkan protokol penguatkuasa siasat hakim – Zaid Ibrahim
RISIKO mencetuskan krisis sekali gus mencipta ‘kesilapan besar’ sekiranya Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menetapkan beberapa protokol kepada badan penguatkuasa yang mahu menyiasat hakim.
Peguam Datuk Zaid Ibrahim, berkata ini kerana ia dilihat seolah-olah menghalang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada menjalankan peranannya untuk menyiasat hakim secara bebas.
Justeru, bekas menteri undang-undang itu menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan bagi mengelak keputusan Mahkamah Persekutuan itu mencetus krisis dalam negara.
Bagaimanapun, Zaid tidak memperincikan krisis yang berisiko berkenaan atau apa tindakan yang wajar diambil oleh Perdana Menteri.
“Satu krisis akan melanda negara jika Perdana Menteri tidak bertindak. Tidak ada negara dalam dunia yang menghalang badan penyiasatan daripada menyiasat hakim jika ada asas.
“Perdana Menteri dan Raja Melayu juga boleh disiasat, mengapa tidak hakim?” katanya dipetik BH, hari ini.
Zaid berkata demikian mengulas penghakiman Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan, yang memutuskan SPRM dan badan siasatan lain berhak secara Perlembagaan untuk menjalankan siasatan dan pendakwa raya mempunyai kuasa memulakan prosiding jenayah terhadap hakim mahkamah atasan.
Bagaimanapun, siasatan itu mesti dilakukan mengikut protokol tertentu bagi memelihara kebebasan badan kehakiman, antaranya badan siasatan mesti terlebih dahulu berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim berkenaan.
Selain itu, badan siasatan tidak boleh menghebahkan fakta siasatan tanpa kebenaran ketua hakim negara dan pendakwa raya mesti berunding dengan ketua hakim negara ketika siasatan, termasuk dalam keputusannya untuk melakukan pendakwaan.
Tengku Maimun berkata demikian dalam penghakiman melalui permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan Perlembagaan berkaitan siasatan SPRM terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (sebelum ini Hakim Mahkamah Tinggi).
Zaid bagaimanapun menyifatkan tidak timbul dakwaan beberapa pihak bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan itu melanggar pengasingan kuasa antara institusi kehakiman dan eksekutif.
Sebelum ini, SPRM memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan selepas menerima aduan mendakwa wujud sumber kekayaan tidak dijelaskan membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan itu.
Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya pula memaklumkan artikel ditulis blogger, Raja Petra Kamarudin bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan di sebuah portal, adalah palsu dan tidak berasas. – Malaysiapost