Motosikal berkuasa tinggi antara 9 kena angkut
MOTOSIKAL berkuasa tinggi antara sembilan motosikal diangkut oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana diletakkan di kawasan larangan.
Kesemua motosikal itu diangkut menerusi operasi oleh Pegawai Penguatkuasa dan Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Jalan Bangsar, semalam.
Ia dilaksanakan sempena operasi Tindakan Khas Angkut dan Kompaun Premis Buat Halangan Tempat Awam di sekitar laluan siar kaki, kaki lima premis serta yang ingkar papan tanda larangan parkir kenderaan.
DBKL menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan, sembilan motosikal telah dialih ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk tindakan lanjut termasuk pengeluaran notis kompaun dan tahanan sementara.
“DBKL turut mengeluarkan 35 notis kompaun pelbagai kesalahan lalu lintas lain dan empat notis kompaun terhadap premis motosikal yang melakukan halangan tred perniagaan di luar premis serta menumpahkan cecair minyak hitam di tempat awam semasa operasi dijalankan.
“Tindakan penguatkuasaan dilakukan menerusi kesalahan di bawah, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Pengguna jalan raya dan pemilik premis diingatkan mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas ditetapkan pihak berkuasa dan memastikan kenderaan diletakkan di tempat sepatutnya tanpa menghalang dan mengganggu pejalan kaki atau kelancaran lalu lintas,” katanya. – Malaysiapost