Nazifuddin akui perlu kerja keras yakinkan perwakilan
ANAK bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Mohd Nazifuddin mengakui perlu bekerja keras untuk meyakinkan akar umbi Pemuda Umno menjelang pemilihan parti tidak lama lagi.
Mohd Nazifuddin yang juga ahli Pemuda Umno Bahagian Langkawi akan bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno.
Menurutnya, beliau menyedari perlu bekerja keras kerana sedar bukan dari asas sistem perdana politik Pemuda Umno sedia ada.
“Oleh itu saya perlu bekerja keras untuk menjiwai semangat sahabat-sahabat akar umbi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu semalam beliau hadir ke sesi pengenalan calon-calon Pemilihan Pemuda Umno Malaysia peringkat Negeri Kedah dan Perlis.
Setakat semalam, saingan bagi merebut jawatan Naib Ketua Pemuda Umno bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru.
Selain Mohd Nazifuddin, turut mengesahkan akan bertanding ialah Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, Mohd Hairi Mad Shah dan Muhammad Farhan Khairuddin. – Malaysiapost