Institusi kehakiman perlu terbuka, alu-alukan siasatan – MPM

Institusi kehakiman perlu terbuka, alu-alukan siasatan – MPM

KEWUJUDAN protokol bagi menyiasat seorang hakim disifatkan seolah-olah melanggar prinsip pengasingan kuasa antara badan kehakiman dan eksekutif, dakwa Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Pengerusi Biro Politik dan Kepimpinan MPM, Shahbudin Embun berpandangan protokol itu juga memperlihatkan institusi kehakiman cuba menceroboh bidang kuasa eksekutif.

Menurutnya, institusi kehakiman sepatutnya lebih terbuka dan mengalu-alukan siasatan oleh pihak penguat kuasa bagi memastikan tiada sebarang kesalahan dilakukan hakim.

“Dengan mengenakan protokol ini, adakah badan kehakiman tidak menceroboh bidang kuasa eksekutif? Jadi di manakah pengasingan kuasa di negara ini?.

“Adakah badan kehakiman seolah-olah memaksa eksekutif untuk mengikut protokol pihaknya? Adakah badan kehakiman tidak campur tangan dalam siasatan SPRM?,” katanya lapor Berita Harian.

Sekiranya terdapat dakwaan salah laku terhadap hakim, Shahbudin berkata, siapa yang akan membersihnya melainkan jika ada penyiasatan dilakukan pihak berkuasa.

“Siapakah yang akan membersihkan hakim? Bagaimanakah badan kehakiman tahu bahawa hakim tidak melakukan sebarang kesalahan melainkan terdapat penyiasatan yang dijalankan oleh penyiasat?.

“Bolehkah sesebuah institusi membersihkan diri sendiri?. Seorang ketua jabatan seharusnya mengalu-alukan siasatan dan mengatakan bahawa pihaknya ingin mengetahui penemuan itu secepat mungkin,” katanya.

Semalam, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilapor berkata, siasatan ke atas hakim mesti dilakukan mengikut protokol tertentu bagi memelihara kebebasan Badan Kehakiman.

Antara protokol ditetapkan termasuk badan penyiasat seperti SPRM mesti berunding dengan Ketua Hakim Negara sebelum memulakan siasatan, ketika menyiasat dan sebelum pendakwa raya melakukan pendakwaan.

Tengku Maimun berkata demikian dalam penghakiman terhadap permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan Perlembagaan berkaitan siasatan SPRM terhadap bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.

Menurut Shahbudin, protokol yang ditetapkan Mahkamah Persekutuan itu tidak pernah dibangkitkan dalam siasatan pihak berkuasa terhadap beberapa bekas hakim kanan dan ketua hakim negara sebelum ini.

“Sebelum ini, Badan Pencegahan Rasuah (BPR) yang kini SPRM juga pernah menyiasat beberapa hakim kanan, namun tidak pernah disebut perlu memaklumkan kepada Ketua Hakim Negara atau forum kehakiman,” katanya. – Malaysiapost

Komen