Rasuah lebih setengah juta, penolong jurutera JKR direman
SEORANG penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) direman lima hari di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini, bagi membantu siasatan kes rasuah.
Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga 1 Mac itu dikeluarkan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Penjawat awam berusia 44 tahun bertugas di bahagian jalan JKR daerah Raub ketika dikatakan melakukan kesalahan itu.
Dia dipercayai menerima suapan antara RM1,000 hingga RM95,000 antara tahun 2018 hingga 2022.
Jumlah keseluruhan suapan didakwa diterima suspek adalah RM516,325.
Suapan itu diterima daripada seorang kontraktor sebagai balasan mencadangkan syarikat proksi kontraktor berkenaan untuk diambil sebagai sub-kontraktor bagi projek pembaikan cerun daripada JKR Daerah Raub.
Suspek juga dipercayai terbabit membantu dalam urusan bagi mendapatkan bayaran tuntutan kerja membaiki cerun dilakukan proksi kontraktor itu.
Dia ditahan jam 6.56 petang semalam ketika hadir bagi dirakam keterangan di pejabat SPRM Pahang.
Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – Malaysiapost