RM100 ribu untuk setiap daerah tak cukup – Lando

RM100 ribu untuk setiap daerah tak cukup – Lando

AKTIVIS penyelenggaraan jalan raya Lando mempersoalkan jumlah peruntukan RM100,000 untuk setiap daerah bagi penurapan jalan berlubang yang disifatkannya tidak mencukupi.

Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi berkata, kos membaik pulih infrastruktur jalan persekutuan, terutama di kawasan luar bandar, memerlukan lebih daripada jumlah itu bagi mendapatkan hasil berkualiti.

“Peruntukan RM2.7 bilion selenggara jalan, tetapi kenapa hanya RM100,000 diperuntukkan kepada jurutera daerah. Selepas itu, persoalannya adakah ia untuk setiap tahun atau lima tahun sekali?

“Bagaimana dengan daerah besar seperti Petaling, Kuala Selangor dan Tanjong Karang, adakah mencukupi?” katanya dipetik FMT, hari ini. 

Lando yang juga Pengasas Ikatan Silaturahim Bro­therhood (Brotherhood) berkata demikian mengulas Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, semalam. 

Menurut Lando, belanjawan 2023 memperuntukkan RM2.7 bilion untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan persekutuan namun sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf dan membina jalan perhubungan desa dan luar bandar. 

Katanya, RM100,000 pula diperuntukkan untuk setiap daerah menyelenggarakan penurapan jalan persekutuan yang rosak.

Selain itu, Azlan menambah, kerajaan perlu meneliti ketelusan sistem dan akta bagi mengelakkan ketirisan dalam penggunaan bajet penyelenggaraan jalan.

“Dari segi perubahan sistem, menyaman kontraktor akibat jalan rosak sebab kerja utiliti, akta itu masih tiada lagi, jalan-jalan di bawah pemaju, banyak yang masih boleh digazetkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Begitu juga dengan pemantauan JKR dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di lokasi turapan. Jarang sekali kita lihat wakil jabatan membuat pemantauan. Hasilnya, kita lihat jalan kembali berlubang, mendap dan beralun,” katanya.

Bagaimanapun Lando berkata, meskipun peruntukan itu tidak mencukupi namun beliau berharap dana berkenaan mampu memberi impak positif. – Malaysiapost

Komen