Saya tawar khidmat 24 jam – Reezal

Saya tawar khidmat 24 jam – Reezal

DATUK Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti bulan depan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu mengemukakan borang pencalonan di ibu pejabat Umno, hari ini.

“Saya menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden, saya menganggap tawaran ini untuk semua perwakilan.

“Saya menawarkan khidmat sebagai satu calon yang boleh bertugas 24 jam, sebab saya bukan lagi anggota pentadbiran.

“Barangkali dalam tiga itu kalau perwakilan untuk memberi timbangan menjaga parti 24 jam, pertimbangkanlah Reezal Merican,” katanya kepada media.

Reezal Merican berkata beliau mempertahan pengalamannya dalam parti sejak usia 28 tahun sebagai asas untuk bertanding jawatan nombor tiga parti.

Jawatan Naib Presiden menjadi tumpuan selepas jawatan utama parti Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini.

Sehingga kini, tujuh pemimpin sah menawarkan diri bagi merebut tiga jawatan Naib Presiden Umno.

Dua Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid sah akan mempertahankan jawatan yang disandang mereka.

Turut bertanding, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani turut menawarkan diri.

Reezal Merican menambah jawatan Naib Presiden bukanlah sesuatu untuk dibanggakan jika terpilih.

“Saya risau kalau ada pemilihan ramai yang tak bertanding, seolah-olah mahu ditinggalkan, tapi (jangkaan) itu meleset.

“Ada bahagian yang (pertandingan) tiga empat penjuru, alhamdulillah ramai nak menggalas amanah jawatan penting dalam parti,” katanya.

Ditanya mengenai kenyakinan untuk menang jawatan berkenaan, beliau tidak mahu terlalu yakin.

“Ketika saya yakin untuk menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, tetapi saya kalah,” katanya. – Malaysiapost

Komen