Shahar tawar diri tanding Ketua Pemuda Umno

Shahar tawar diri tanding Ketua Pemuda Umno

CALON Ketua Pemuda Umno, Datuk Mohd Shahar Abdullah bertekad untuk memastikan ahli sayap itu terus menjadi barisan hadapan parti terutama membabitkan kepentingan rakyat.

Beliau yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno mahu memimpin sayap parti supaya terus kekal releven dan menjadi parti pilihan anak muda.

“Saya dengan ini menawarkan diri untuk diberikan mandat memimpin sebagai Ketua Pemuda Umno bagi penggal 2023-2026.

“Tekad saya untuk memastikan ahli Pemuda Umno akan terus menjadi barisan hadapan parti dan juru bicara rakyat yang utama dalam segenap lapisan isu yang membabitkan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Paya Besar berkata, keputusan itu dibuat sebagai usaha segeranya untuk menyuburkan demokrasi dalam sayap parti, khususnya di peringkat akar umbi.

“Bagi memastikan penyatuan dan kekuatan kita, Pemuda sentiasa utuh untuk melangkah ke hadapan, menjadi perisai parti keramat yang kita sayangi,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan politik semasa yang sangat dinamik dan sentiasa berubah, Umno sudah pastinya akan menghadapi cabaran dan badai lebih besar untuk terus kekal relevan.

Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Hasmuni Hassan semalam memaklumkan seramai empat calon sudah mengesahkan akan merebut jawatan itu pada pemilihan kali ini.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh; Syed Rosli Syed Harman Jamalullail; Meor Hassan Mat Ali serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah. – Malaysiapost

Komen