Tak masuk akal kena dapat kebenaran Ketua Hakim siasat hakim lakukan jenayah – Isham
PROTOKOL yang menetapkan penguatkuasa perlu mendapatkan kebenaran Ketua Hakim Negara untuk menyiasat seseorang hakim yang melakukan jenayah tidak ada dalam Perlembagaan atau mana-mana undang-undang.
Ketua Penerangan Umno Isham Jalil berkata, ianya kerana melibatkan isu jenayah bukannya isu etika hakim dan Tun Tengku Maimun Tuan Mat tidak boleh memaksa cabang eksekutif di negara ini untuk berunding atau meminta kebenarannya bagi menyiasat hakim yang didakwa melakukan jenayah.
Beliau mengulas kenyataan Tengku Mainun bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman, tidak mengikut protokol dan tanpa rundingan.
“Di negara-negara lain termasuk di England dan Amerika Syarikat, jika hakim buat jenayah, pihak berkuasa boleh siasat, tahan dan dakwa hakim tersebut tanpa minta kebenaran atau berunding dengan ketua hakim.
“Jika pihak berkuasa perlu minta kebenaran atau berunding dengan ketua hakim untuk menyiasat dan mendakwa hakim yang didakwa melakukan jenayah, ini tidak kena dengan prinsip pengasingan kuasa dan semak imbang antara Eksekutif, Kehakiman dan Parlimen.
“Contohnya, tidak masuk akal untuk pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta kebenaran ketua hakim sebelum menangkap, menyiasat dan mendakwa hakim yang membunuh atau mengambil rasuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu menegaskan, tugas hakim atau ketua hakim adalah untuk mengadili sesuatu kes.
“Bukan tugas seorang hakim untuk menyiasat, menangkap dan mendakwa kerana tanggungjawab itu dipikul oleh penguatkuasa undang-undang seperti polis dan SPRM.
“Oleh sebab itu, penguatkuasa tidak perlu minta kebenaran hakim untuk siasat suspek yang mana tugas ini bukanlah di bawah bidang kuasa hakim.
“Jika tidak dan jika penguat kuasa perlu minta kebenaran atau berunding dengan ketua hakim untuk siasat seseorang waima hakim lain seperti di atas, maka kuasa untuk menyiasat, mendakwa dan menghakim akan semuanya terletak di tangan badan kehakiman dan dengan ini tiadalah semak imbang.
“Dan hakim yang disyaki melakukan jenayah tidak terkecuali dari prosedur siasatan yang dikenakan ke atas orang lain, mereka tidak ada imuniti atau keistimewaan dalam perkara-perkara jenayah,” katanya.
Isham turut memberikan contoh, meminta pihak berkuasa berunding dengan ketua hakim sebelum menyiasat seorang hakim samalah seperti jika Speaker Dewan Rakyat meminta pihak berkuasa berunding dengannya dahulu sebelum menangkap seseorang ahli Parlimen.
Katanya, Ia juga sama seperti kena berunding dengan perdana menteri terlebih dahulu sebelum menangkap menteri yang melakukan jenayah.
“Ini tidak masuk akal. Saya gesa ketua hakim supaya tidak membuat penghakiman yang dilihat menegak benang yang basah.
“Ini bukan soal perundangan, ini soal dasar awam dan logik akal.
“Rakyat memerhati dan jika badan kehakiman dilihat bias, ini tidak baik ke atas keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan negara,” kata Isham.
Isham berkata, jika rakyat hilang kepercayaan kepada sistem kehakiman, maka undang-undang akan sukar ditegakkan.- Malaysiapost