Zahid harap CUEPACS faham kekangan kewangan kerajaan

Zahid harap CUEPACS faham kekangan kewangan kerajaan

CUEPACS perlu memahami kekangan kewangan dihadapi kerajaan ketika ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau menjelaskan, kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi harapan dan permintaan penjawat awam di sebalik kekangan kewangan sedang dialami.

Namun, Ahmad Zahid menjelaskan, sebanyak RM46 bilion daripada RM388.1 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2023, adalah untuk membayar faedah hutang.

“Misalnya, emolumen dan wang pencen yang terpaksa dibayar… itu adalah kos tetap yang harus ditanggung oleh pihak kerajaan.

“Saya fikir CUEPACS sebagai sebuah organisasi yang menjaga kepentingan penjawat awam, tentu memahami situasi ini.

“Pada hemat saya, Perdana Menteri juga memberi keprihatinan tinggi kepada permintaan penjawat awam. Ini termasuk memberi bonus khas sebanyak RM700 sempena Aidilfitri dan RM350 bagi pesara,” katanya kepada media di Dungun, hari ini. 

Semalam, CUEPACS dilaporkan kecewa kerana Belanjawan 2023 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi penjawat awam

Presidennya, Datuk Adnan Mat  berpandangan tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup. – Malaysiapost

Komen