Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara PN berkumpul ‘bedah’ Bajet 2023

Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara PN berkumpul ‘bedah’ Bajet 2023

AHLI Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara daripada Perikatan Nasional (PN) berkumpul hari ini, bagi membincangkan mengenai Bajet 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata pembentangan bersama itu akan dilakukan oleh pemimpin PN, penganalisa dan ahli ekonomi.

“Hari ini hingga tengah malam semua Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara Perikatan Nasional berkumpul untuk ‘membedah’ Bajet 2023.

“Saya amat gembira dengan budaya ilmu yang diterapkan dalam Perikatan Nasional,” katanya dalam hantaran Facebook, sebentar tadi.

Wan Saiful berkata, usaha tersebut akan membolehkan Ahli-ahli parlimen PN menjalankan amanah di Parlimen bersandarkan data dan penghujahan yang kemas.

“Kita tidak beretorik dengan bahasa sastera berbunga-bunga tapi isinya tiada. Sebaliknya kita pastikan pasukan kita bergerak secara tersusun untuk mencari solusi yang realistik dan praktikal untuk membantu rakyat,” ujarnya.

Jumaat lalu, Anwar merangkap Menteri Kewangan Kerajaan Perpaduan pimpinannya membentangkan Bajet 2023.

Bajet 2023 Malaysia MADANI menarik perhatian rakyat yang mengharapkan Kerajaan Perpaduan mengumumkan berita gembira, khususnya ketika ramai masih dibelenggu kesan pandemik Covid-19. – Malaysiapost

Komen