Kerajaan Selangor sedia dedah laporan tanah runtuh Batang Kali
KERAJAAN Selangor sedia mendedahkan laporan penuh tragedi tanah runtuh Father’s Organic Farm Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor kepada waris mangsa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan yang disediakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan didedahkan secara bertulis berdasarkan permintaan.
“Laporan daripada JMG sudah disediakan. Kalau ada permohonan kita boleh keluarkan secara bertulis.
“Saya akan bawa ke mesyuarat Exco dalam masa terdekat untuk kenal pasti mana punca kuasanya,” katanya.
Semalam, keluarga mangsa tragedi tanah runtuh itu menggesa kerajaan segera mengeluarkan laporan penuh mengenai insiden tersebut.
Wakil keluarga mangsa, Loh Teng Shui, berkata mereka masih menunggu untuk mendapatkan jawapan mengenai apa sebenarnya berlaku.
Pada 19 Januari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata laporan penuh mengenai kejadian itu dijangka siap pada akhir bulan lalu.
Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, termasuk 13 kanak-kanak. – Malaysiapost