KPM diminta perjelas isu soalan Sejarah Kertas 2 SPM bocor
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) digesa tampil menjelaskan dakwaan bahawa soalan Kertas 2 subjek Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bocor.
Pemimpin Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali dengan panggilan Che’gu Bard, berkata tindakan membocorkan kertas soalan awam merupakan jenayah dan wajib diambil tindakan.
“Bagaimana pun tahukah kita bahawa kertas soalan Sejarah SPM yang baru diduduki minggu lepas telah bocor sebelum kertas itu diduduki.
“Malangnya sehingga ke saat ini Kementerian Pendidikan gagal membuat kenyataan menjelaskan duduk perkara tersebut,” katanya dalam hantaran Facebook.
Sebelum ini media melaporkan, soalan peperiksaan SPM 2022 melibatkan topik Kertas 2 subjek Sejarah didakwa telah bocor.
Topik bagi soalan kertas sejarah itu didakwa tersebar di aplikasi WhatsApp, sebelum calon menduduki peperiksaan subjek berkenaan, Khamis lalu.
Difahamkan antara topik yang dikatakan bocor membabitkan ‘Malayan Union’.
Sementara itu, menyentuh berkenaan penangkapan dua pelajar sekolah menengah berikutan tidak puas hati dengan isu itu, Badrul Hisham berkata tindakan segera KPM dalam kerangka mendidik adalah amat wajar.
Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa perlu juga mempertimbangkan jadual peperiksaan yang sedang berlangsung.
“Bukan sahaja ibu bapa atau guru malah semua anggota masyarakat perlu lebih sensitif dengan perkembangan seperti ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata keadilan sewajarnya perlu diberikan kepada semua calon SPM kerana isu tersebut adalah daripada kecuaian KPM.
Terdahulu, media melaporkan polis menahan dua pelajar sekolah menengah berikutan tular video tidak berpuas hati terhadap kertas soalan Sejarah pada peperiksaan SPM baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata, kedua-dua pelajar lelaki berusia 18 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di dua lokasi berasingan di Batang Kali pada pukul 9.30 malam semalam, bagi membantu siasatan.
Katanya, beliau telah menerima satu video TikTok memaparkan seorang pelajar lelaki memakai seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas soalan peperiksaan SPM mata pelajaran Sejarah.
Beliau berkata, dalam video berkenaan pelajar itu juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan mata pelajaran Sejarah serta menghina Singapura. – Malaysiapost