Landasan LRT rosak, bas perantara ditambah esok

Landasan LRT rosak, bas perantara ditambah esok

PERKHIDMATAN bas perantara LRT11 yang beroperasi di antara stesen Sentul Timur dan Bandaraya akan ditambah mulai esok bagi kemudahan orang ramai yang menggunakan laluan terbabit.

Rapid Rail dalam kenyataan memaklumkan, ia susulan kekerapan tren di antara Sentul Timur dan Bandaraya akan dikurangkan atas faktor keselamatan.

Katanya, 15 bas perantara LRT11 akan beroperasi di antara kedua-dua stesen tersebut dengan kekerapan setiap 10 minit.

“Penambahan bas perantara ini adalah bagi menyokong operasi tren yang akan beroperasi dengan kekerapan setiap 24 minit mulai Isnin.

“Perkhidmatan bas tersebut yang telah diaktifkan semula pada Khamis lepas akan berhenti di stesen-stesen Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail dan Bandaraya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rapid Rail berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyokong laluan khas bas bagi melancarkan perjalanan selain anggota operasi rel, polis bantuan dan troopers akan ditugaskan di stesen tersebut bagi membantu mengawal pergerakan penumpang di stesen dan platform.

Menurut Rapid Rail, kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen Bandaraya berpunca daripada kerja-kerja pembinaan di kawasan berhampiran.

“Lima tren yang sebelum ini digunakan di antara Sentul Timur dan Bandaraya tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk menjalani penyelenggaraan,” katanya.

Rapid Rail turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh para penumpang dan akan terus mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengurangkan kesulitan yang dialami. – Malaysiapost

Komen