MB Kedah berhasrat bentang projek Kedah Aerotropolis pada Anwar
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berhasrat membentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gambaran penuh projek mega Kedah Aerotropolis merangkumi beberapa komponen termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
Beliau berkata, setakat ini sudah dua kali surat permohonan bertemu bagi tujuan itu telahpun dihantar kepada Perdana Menteri namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.
Jelas beliau, Kedah Aerotropolis adalah projek yang sedang dalam perancangan untuk dibangunkan di kawasan bersempadan tiga daerah Kuala Muda, Kulim dan Baling di negeri itu.
“Kedah Aerotropolis adalah projek berimpak tinggi yang akan dibangunkan melalui pelaburan syarikat swasta tempatan tanpa melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
“Dalam kedudukan kewangan yang kurang memberangsangkan, Kerajaan Negeri Kedah memilih untuk melaksanakan projek berkenaan secara pelaburan swasta (PFI) sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, projek terbabit adalah katalis berpotensi tinggi untuk menarik kemasukan pelaburan asing melalui pembukaan kawasan perindustrian baharu berasaskan industri berteknologi tinggi aeroangkasa dan penerbangan.
Katanya, ianya akan direalisasikan menerusi pembukaan Sidam Logistic Aerospace Manufacturing Hub (SLAM) sebagai kawasan perindustrian memberi tumpuan kepada industri Maintenance, Repair & Overhaul (MRO) yang sangat diperlukan dalam sektor penerbangan.
Selain itu, beliau berkata projek jajaran lebuh raya, Northern Corridor Highway (NCH yang akan menghubungkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di daerah Bandar Baharu dengan KXP dan Sungai Petani juga akan dibangunkan.
Tambah Muhammad Sanusi, rangkaian landasan keretapi baharu juga akan dibina menghubungkan KXP dengan Tasik Gelugor dan Sungai Petani.
“Dalam konteks Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), KXP tidak akan jadi pesaing kepada lapangan terbang terbabit. Ini kerana KXP akan beroperasi sebagai hab kargo dan segmen penumpang belum dipertimbangkan dalam fasa ini.
“Justeru LTAPP boleh terus memberi fokus kepada perkhidmatan yang ditawarkan dan menerima bahawa projek KXP adalah untuk menjadi pelengkap, bukannya pesaing kepada lapangan terbang itu,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap agar perbincangan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan dapat dicapai bagi merealisasikan usaha ini demi kepentingan dan manfaat rakyat Kedah khususnya, dan seluruh negara. – Malaysiapost