Pakaian patuh syariah, Siti Kasim pertikai Kerajaan Terengganu
PEGUAM Siti Kasim mempersoalkan langkah Kerajaan Terengganu yang bersedia menguatkuasakan pemakaian patuh syariah di negeri itu.
Dalam klip video di aplikasi TikTok miliknya, Siti Kasim berkata dia sedia maklum mengenai berita kerajaan Terengganu yang telah meluluskan satu undang-undang untuk kaum perempuan yang tidak patuh syariah cara pemakaian, akan didenda.
Namun, dalam klip video itu, Siti Kasim mempertikaikan tindakan itu dengan mengajukan soalan kepada pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mengenai siapakah beliau untuk menentukan cara pemakaian wanita.
“Siapa engkau, siapa awak yang nak beritahu perempuan apakah cara pemakaian yang patut dipakai oleh kaum perempuan.
“Macam ni yang saya pakai ni memang lah tak patuh syariah kan, so you nak denda I. You cubalah denda I cuba denda ok…,” katanya dalam klip video itu.
Siti Kasim turut menegaskan, wanita tidak sepatutnya membiarkan kaum lelaki menentukan apa yang patut dipakai oleh mereka.
Justeru, Siti Kasim menyeru agar kaum wanita bangkit dan tidak memberikan muka kepada pihak yang menggunakan agama untuk mengawal cara pemakaian golongan wanita.
Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Terengganu memaklumkan sudah bersedia untuk menguatkuasakan pematuhan etika pemakaian patuh syariah di negeri itu.
Malah, Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini juga sudah meluluskan rang-rang undang berkaitan perkara itu dan bersedia untuk melaksanakannya. – Malaysiapost