PRN: Agihan kerusi Kerajaan Perpaduan diumum hujung Mac – Fahmi
RUNDINGAN pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan bagi berdepan pilihan raya negeri (PRN) dijangka diumum sebelum hujung bulan depan.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, berkata ia mungkin diumum lebih awal kerana rundingan secara rasmi mengenai pembahagian kerusi di enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan sudah berlangsung agak lama.
Katanya, rundingan berjalan lancar di setiap negeri ketika ini dan hasilnya akan dibawa ke Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk dimuktamadkan sebelum diumumkan.
“Saya jangka (pengumuman hasil rundingan pembahagian kerusi PRN) dalam masa yang tidak terlalu lama dari sekarang sebab perbincangan rasmi sudah berlangsung agak lama.
“Mungkin diumumkan sebelum hujung Mac atau lebih awal. Tidak semestinya semua negeri diumumkan serentak, mungkin ada sesetengah negeri diumum dahulu.
“Apa pun kita tunggu pengumuman rasmi daripada Sekretariat Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai rundingan pembahagian kerusi antara PH, BN dan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan menjelang PRN di enam negeri.
Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan perlu melaksanakan PRN sebelum Julai depan berikutan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November tahun lalu.
Sementara itu, Fahmi berkata, Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan menjadi platform rasmi mengenai pemakluman dan pengumuman mengenai pembahagian kerusi PRN untuk PH, BN dan parti lain.
“Proses ini akan dimuktamadkan melalui Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang terbentuk beberapa minggu lalu. Ini akan menjadi platform rasmi untuk kita umumkan kelak,” katanya. – Malaysiapost