Rara gesa kerajaan bina hospital baharu di Bentong

Rara gesa kerajaan bina hospital baharu di Bentong

TERKESAN dengan rungutan pesakit mengenai ketidakupayaan dan kekangan fasiliti yang dihadapi Hospital Bentong, Young Syefura Othman menggesa sebuah hospital baharu dibina segera di kawasan Parlimen Bentong.

Ahli Parlimen Bentong itu berkata, perkara itu akan dibawa untuk perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi keselesaan rakyat di Parlimen tersebut mendapat kemudahan kesihatan yang sempurna.

“Saya juga akan memanjangkan isu pembinaan Hospital Bentong yang baharu di Chinta Manis ke perhatian KKM agar dapat dibina dengan segera supaya fasiliti kesihatan di Bentong ini lebih selesa dan kesesakan serta waktu menunggu dapat diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan laporan media mengenai rungutan orang ramai yang menghadapi kesulitan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Bentong, baru-baru ini.

“Saya ambil maklum mengenai keadaan di Hospital Bentong yang mana pesakit terpaksa menunggu lama sehingga ada yang pulang tanpa mendapatkan rawatan.

“Saya telah membangkitkan perkara ini di dalam ucapan perbahasan titah diraja dan telah mendapat respon daripada Menteri Kesihatan dalam ucapan penggulungan beliau,” katanya.

Menjelaskan mengenainya, Young Syefura berkata, KKM telah mengenal pasti trend peningkatan kehadiran pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

“Salah satu faktor adalah kesan daripada pandemik Covid-19 di mana kes-kes seperti penyakit tidak berjangkit (NCD) dan komplikasinya semakin hari semakin meningkat.

“Difahamkan walaupun pekerja kesihatan terutamanya doktor di Hospital Bentong telah bertambah, namun ia masih tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kepada pesakit yang hadir di Hospital Bentong.

“Selain daripada itu faktor waktu perkhidmatan klinik-klinik swasta yang tamat seawal jam 5 petang, menjadikan pesakit tiada tempat lain untuk mendapatkan rawatan selain daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Bentong,” katanya.

Young Syefura berkata, KKM memaklumkan sedia menambah sebanyak 1,500 jawatan baharu serta berharap kekurangan pekerja kesihatan di Hospital Bentong dapat diatasi. – Malaysiapost

Komen