Sah! Lapan bertanding rebut jawatan Naib Presiden Umno
LAPAN pemimpin Umno mengesahkan akan merebut tiga jawatan naib presiden parti itu pada pemilihan, Mac depan.
Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tiada pencalonan baharu bagi jawatan itu diterima sehingga tempoh mengemukakan borang pencalonan berakhir jam 5 petang tadi.
Jelasnya, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad akan mengumumkan senarai penuh dan rasmi esok.
“Esok Tan Sri Shahrir akan umum secara rasmi semua calon yang bertanding pada setiap jawatan yang dipertandingkan,” katanya ringkas kepada Malaysiapost, hari ini.
Lapan pemimpin yang merebut jawatan Naib Presiden Umno termasuk dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Bagaimanapun seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak bertanding sekali gus tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya.
Turut berebut jawatan Naib Presiden ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Selain itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – Malaysiapost