Shahelmey serah Lembaga Disiplin Umno buat keputusan
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya menyerahkan kepada Lembaga Disiplin Umno berhubung tindakannya menyokong kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri III berkata, beliau tidak mahu mendahului Lembaga Disiplin Umno berhubung perlakuan atau kenyataan kurang wajar.
“Saya seorang daripada Adun Umno Sabah dipanggil Lembaga Disiplin untuk membuat pembelaan atas pertuduhan dinyatakan dan telah menyatakan pembelaan saya.
“Kita berserah kepada Lembaga Disiplin Umno untuk membuat keputusan, jadi kita tunggu,” katanya.
Selain Shahelmy, empat lagi Adun berpendirian sama sudah dipanggil Lembaga Disiplin Umno, iaitu Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Yusof Yacob (Sindumin).
Bagaimanapun, Jasnih, James, Arsad dan Yusof bersama seorang lagi Adun Umno, iaitu Hamild@Hamid Awang (Balung) mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah Selasa lalu.
Pada 6 Januari lalu, Ketua Umno Sabah, Datuk Sweri Bung Moktar Radin berkata, parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Sabah dan Hajiji sebagai ketua menteri.
Mengenai tindakan Adun terbabit meninggalkan Umno, Shahelmy yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, itu hak mereka, namun beliau menganggap keputusan tersebut dibuat bagi mengukuhkan kestabilan politik di Sabah.
“Politik stabil penting agar pentadbiran dan agenda pembangunan negeri seperti Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dapat dijayakan,” katanya. – Malaysiapost