Suami Mira Filzah tanding Exco Pemuda Umno

Suami Mira Filzah tanding Exco Pemuda Umno

SUAMI artis terkenal Mira Filzah, Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar mengesahkan bertanding jawatan Exco Pemuda Umno dalam pemilihan parti, bulan depan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi membawa pembaharuan dalam parti selain mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya hantar borang untuk menawarkan diri sebagai Exco Pemuda Umno. Allah jentik hati untuk cuba menawarkan perkhidmatan saya untuk parti Umno ini.

“Saya mahu cuba bawa keyakinan semula kepada parti setelah apa yang berlaku pada PRU lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Anak kepada bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid berkata, kudrat dan tenaga akan disumbangkan sepenuhnya kepada parti tersebut sekiranya diberi peluang menjawat jawatan itu.

“Mungkin saya nak cuba, macam mana saya boleh nak menawarkan khidmat kepada Pemuda Umno.

“Lagi-lagi Undi 18 dan segalanya ini, mungkin ada pendekatan baru yang boleh digunakan untuk meraih undi pengundi pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

Komen