1MDB, MoF Inc terima bayaran penyelesaian USD1.8 bilion
SYARIKAT Pelaburan Petroleum Antarabangsa milik Abu Dhabi (IPIC) dan Aabar Investments PJS bersetuju membayar USD1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menyelesaikan pertikaian undang-undang.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, dengan penyelesaian itu Malaysia dan Abu Dhabi memandang ke hadapan bagi meneruskan kerjasama demi kemakmuran dan keuntungan ekonomi kedua-dua negara.
“Dalam hal ini, IPIC dan Aabar PJS telah bersetuju untuk membayar USD1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan dan 1MDB.
“Dengan penyelesaian ini, Malaysia dan Abu Dhabi berharap dapat terus bekerjasama demi kemakmuran dan manfaat ekonomi kedua-dua negara pada masa akan datang,” menurut kenyataan berkenaan.
Terdahulu, kedua-dua pihak sebelum ini terbabit dalam pertikaian undang-undang di Mahkamah London dengan dakwaan IPIC dan Aabar bersubahat dengan penipuan 1MDB.
Kerajaan mencabar penyelesaian timbang tara pada 2017 antara dua pihak di United Kingdom, mendakwa IPIC dan Aabar Investments sedar mengenai tuduhan penipuan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika perjanjian ditandatangani. – Malaysiapost