Ahmad tak tanding Naib Presiden kerana tak mahu pecah undi Johor

Ahmad tak tanding Naib Presiden kerana tak mahu pecah undi Johor

DATUK Seri Ahmad Maslan mengesahkan akan mempertahan jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada pemilihan parti bulan depan, bukan mencabar jawatan Naib Presiden walau mengakui ada permintaan.

Timbalan Menteri Kewangan itu ketika ditemui media di lobi Parlimen berkata, keputusan itu dibuat kerana tidak mahu memecahkan undi perwakilan Johor.

Ketika ini tiga pemimpin Umno Johor telah mengesahkan bertanding jawatan nombor tiga parti iaitu penyandang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; bekas Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad serta Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Di Utara sudah ada Tok Det (Datuk Seri Mahdzir Khalid), di Tengah ada Datuk Jo (Datuk Seri Johari Abdul Ghani), Pahang ada seorang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail).

“Cukuplah sekadar itu, saya tak perlu menambah jadi empat bagi Johor, nanti seorang pun tak menang.

“Jadi saya bertanding mempertahankan MKT yang sebelum ini saya menang pada pemilihan 2018,” kata Setiausaha Agung Umno itu.

Sementara itu Ahmad mengesahkan akan bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Pontian yang kini disandang Hasni.

“Di bahagian, saya akan berlawan persahabatan dengan Hasni, beliau ketua bahagian lebih 20 tahun.

“Jadi saya kira, saya ingin menawarkan diri supaya difikirkan oleh perwakilan untuk bahagian Pontian,” katanya. – Malaysiapost

Komen