Ahmad Zahid jumpa Jakim bincang pelbagai perkara

Ahmad Zahid jumpa Jakim bincang pelbagai perkara

MENTERI Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pertemuan itu adalah bagi membincangkan pelbagai perkara termasuklah memperhalusi pelan tindakan Dasar Tahfiz Negara yang pernah dilancarkan pada 2017.

“Turut dibincangkan adalah agenda besar melahirkan sebanyak 125,000 huffaz professional menjelang 2050 dapat direalisasikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Selain itu beliau menegaskan kerjasama antara Jakim dan KKDW amat penting untuk mengintegrasi dan memperkukuhkan lagi kurikulum serta modul kerohanian.

“Ini termasuk melahirkan ulul albab di dalam institusi-institusi pendidikan, latihan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ia termasuklah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Kemahiran Mara (IKM), GiatMARA dan lain-lain institusi,” katanya. – Malaysiapost

Komen