Belanjawan 2023, belanjawan ‘selimut yang senteng’ – Ketua Pembangkang

Belanjawan 2023, belanjawan ‘selimut yang senteng’ – Ketua Pembangkang

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu seperti sehelai ‘selimut yang senteng’.

Ahli Parlimen Larut yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu, berkata belanjawan yang dibentangkan kerajaan kelihatan tidak menyeluruh selain tidak menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat.

Beliau turut bersimpati dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan kerana perlu berdepan keadaan ekonomi negara dan dunia yang merungsingkan ketika ini.

“Apabila saya mendengar ucapan Tambun (Anwar), saya agak simpati kerana dalam keadaan ekonomi negara yang agak runsing pada hari ini, begitu juga dengan ekonomi dunia, saya merasakan mungkin ini yang menyebabkan ucapan YB (Yang Berhormat) pada hari itu adalah sesuatu yang saya anggap seperti bajet selimut yang senteng.

“Maksudnya kalau kita tutup muka, betis terselak, kalau tutup kaki, muka terdedah. Ertinya banyak perkara dalam belanjawan tersebut yang kurang dari segi pendekatan untuk menentukan masa depan kita kerana sepatutnya belanjawan ini boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah berkata, belanjawan negara sepatutnya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat terutama anak muda selain perlu meringankan beban rakyat dalam kos sara hidup.

“Segala apa yang kita dengar, seharusnya belanjawan harus diberi atau diagihkan secara saksama kepada semua.

“Bukankah matlamat utama sesuatu perancangan itu untuk memberi nilai tambah dan limpahan yang berganda bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi dan daya saing negara,” katanya.

Perdana Menteri pada Jumaat lalu membentangkan belanjawan berjumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion adalah belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka. – Malaysiapost

Komen