CUEPACS yakin Anwar ada percaturan sendiri bantu penjawat awam
CUEPACS menyambut baik maklum balas Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan hati terbuka berhubung isu kenaikan gaji melibatkan penjawat awam.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata pihaknya yakin Perdana Menteri mempunyai percaturan tersendiri dalam menjaga kebajikan warga penjawat awam yang sentiasa dekat di hati beliau.
“Apa jua pendirian kerajaan berhubung kebajikan penjawat awam sudah pasti diterima dengan baik oleh kami semua.
“CUEPACS menyuarakan suara hati daripada majoriti penjawat awam. Apa jua keputusan kerajaan sudah tentu diterima baik oleh penjawat awam,” katanya menerusi kenyataan petang ini.
Terdahulu Anwar meminta CUEPACS bersabar susulan kenyataan Adnan yang berpandangan tiada komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah dalam Belanjawan 2023.
Anwar berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah membantu rakyat yang lebih miskin.
Kata Perdana Menteri lagi, kerajaan tidak mencadangkan kenaikan gaji penjawat awam dalam Belanjawan 2023 kerana ia boleh menyebabkan defisit tinggi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, defisit tinggi boleh mengurangkan keyakinan pelabur terhadap negara kerana mereka tidak yakin ada tekad politik untuk mengurus negara dengan baik.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, penjawat awam akan terus memberikan khidmat tanpa berbelah bahagi dalam menyokong dan melaksanakan dasar kerajaan.
Ia katanya, khususnya teras dalam rukun Malaysia Madani dibawa Perdana Menteri demi kepentingan rakyat dan negara. – Malaysiapost