Dakwa ucapan Ketua Pembangkang ‘kosong’ cetus kecoh di Dewan Rakyat

Dakwa ucapan Ketua Pembangkang ‘kosong’ cetus kecoh di Dewan Rakyat

TINDAKAN Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) menyifatkan ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) sebagai ‘kosong’ menimbukan suasana tegang di Dewan Rakyat, hari ini.

Sim yang bangun mencelah ketika perbahasan Belanjawan 2023 mendakwa ucapan Ahli Parlimen Larut itu sebagai tidak ada isi dan ‘sembang kencang’ menyebabkan Hamzah sedikit berang.

“Saya ada ekspetasi tinggi terhadap Larut tetapi apa yang saya dengar 17 hingga 18 minit ucapan Larut tidak ‘straight to the point’. Kerana tak ada isi, hanya sembang kencang.

“Saya harapkan pembangkang boleh bangkitkan belanjawan bayangan, tetapi setakat ini pembangkang tak buat kerja. Kalau nak jadi pembangkang yang membina, bawa lah belanjawan bayangan. Saya rasa kecewa sebab pembangkang tak membina langsung,” katanya.

Bagaimanapun Hamzah membidas dakwaan Sim dengan menyifatkan ia sebagai mukadimah yang wajar selaku Ketua Pembangkang.

“Itu baru mukadimah, mukadimah pun dah naik angin. Ini apa ni? Ini Kerajaan Perpaduan macam mana?

“Saya baru nak masuk tentang pasaran ekonomi baharu, tak sempat-sempat yang dia takut sangat ni apasal? Dia belum tahu pun apa yang saya nak sampaikan.

“Yang saya nak sampaikan adalah kami di sini adalah sesuatu kumpulan yang nak lihat semak dan imbang apa yang disampaikan kerajaan.

“Jadi kalau YB Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh baca bermacam-macam ayat al-Quran dengan menggunakan segala filosofinya. Jadi apa salahnya pembangkang melalui saya bermula dengan pendahuluan seperti ini?,” katanya. – Malaysiapost

Komen