Fitnah Zahid: BN hantar surat tuntutan kepada Muhyiddin, Azmin
BARISAN Nasional (BN) hari ini menghantar surat tuntutan (letter of demand) terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung tuduhan fitnah terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, dalam surat berkenaan kedua-dua penama tersebut mestilah menarik balik kenyataan mereka, memohon maaf secara terbuka dan membayar pampasan ganti rugi atas kenyataan serta fitnah yang dilakukan.
“Tuduhan Muhyiddin bahawa Ahmad Zahid adalah ‘dalang’ dan ‘perancang’ kepada pertuduhan (Datuk) Wan Saiful (Wan Jan) dan Perikatan Nasional (PN) adalah sangat melampau.
“Tuduhan ini adalah satu fitnah yang melulu, besar dan disengajakan untuk menutup kerosakan yang kini berlaku dalam PN itu sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Malah katanya, tuduhan itu turut disokong Ketua Penerangan PN, Mohamed Azmin yang mendakwa pendakwaan rasuah ahli PN dan Bersatu adalah tindakan yang dirancang.
“Melalui siri tuduhan ini, jelas bahawa kedua-dua individu utama dalam PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah yang ada di dalam PN.
“Tindakan menunding jari dilihat seperti langkah yang biasa untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah daripada kepimpinan parti mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata, fitnah liar itu tidak boleh dibiarkan berlarutan untuk dijadikan bahan menipu dan meloloskan diri daripada dakwaan terhadap kesalahan serta jenayah dilakukan.
“Ahmad Zahid tidak pernah sesekali menyalahgunakan jawatan dan kedudukan untuk mendakwa pemimpin PN.
“Fokus Timbalan Perdana Menteri adalah untuk menguruskan hal ehwal negara, khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mendakwa parti itu menjadi mangsa pendakwaan terpilih selepas Wan Saiful didakwa atas dakwaan rasuah bernilai RM6.9 juta, baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan mengheret ahli parti terlibat dalam kes pertuduhan rasuah melibatkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) seperti telah ‘dirancang’ dan ‘terancang’.
Muhyiddin turut mendakwa Ahmad Zahid sebagai ‘dalang’ rancangan untuk mengheret ahli parti terlibat dalam kes pertuduhan rasuah melibatkan Jana Wibawa. – Malaysiapost