Hanya 40 tahun ke bawah boleh jadi Ketua Pemuda Umno
CALON Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mahu mengubah perlembagaan Umno bagi memastikan jawatan nombor satu pergerakan itu hanya diisi mereka berusia 40 tahun ke bawah.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau tersebut, itu janjinya jika dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti tidak lama lagi.
“Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang melahirkan pemimpin yang lebih hebat dari diri mereka.
“Semua boleh bercakap tentang membawa perubahan, tetapi jarang orang yang berani melakukan perubahan dan perubahan mesti bermula dari diri kita sendiri.
“InsyaAllah jika saya diberi mandat, kita akan ubah perlembagaan untuk mewajibkan Ketua Pemuda Umno malaysia mesti yang berumur 40 tahun dan ke bawah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Dr Akmal yang juga Exco kerajaan Melaka berkata apa yang dihasratkannya itu bukan mengenai dirinya, sebaliknya demi masa depan Pemuda Umno.
Pada pemilihan Umno 18 Mac ini, saingan bagi merebut jawatan Ketua Pemuda menyaksikan saingan lima penjuru.
Selain Dr Akmal, turut menawarkan diri ialah, Datuk Mohd Shahar Abdullah, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, Meor Hassan Mat Ali serta Datuk Armand Azha Abu Hanifah. – Malaysiapost