Johan Mahmood dilantik KSU Perbendaharaan MOF yang baharu
DATUK Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan berkuatkuasa, hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurutnya, Johan, 50, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan di kementerian itu berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan serta pengalaman luas beliau sepanjang memegang beberapa jawatan di dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar.
“Saya berkeyakinan penuh dengan kelayakan, pengalaman dan kredibiliti beliau menggalas amanah serta mendokong misi dan visi dalam meneruskan kecemerlangan pengurusan kewangan dan ekonomi negara yang cekap, telus dan berkesan selari dengan hasrat Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai rekod, Johan merupakan lulusan kelas pertama dari University of Cambridge serta akauntan bertauliah dari Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (TALENT CORP), Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan.
Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan. – Malaysiapost