Malaysia zahir hasrat tambah kuota haji

Malaysia zahir hasrat tambah kuota haji

JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengutarakan hasrat Malaysia untuk penambahan kuota haji rasmi kepada 31,950 pada tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata hasrat itu disampaikan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah, yang dalam lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari bermula 25 Februari yang lalu.

Beliau berkata, hasrat itu selaras dengan pertambahan jumlah penduduk negara menurut prospektus populasi 2019 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu seramai 31.95 juta.

“Bagi membolehkan lebih ramai umat Islam di Malaysia menunaikan fardu haji, kita memohon pertimbangan khas dari Kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan kerja Dr Tawfiq Fawzan bersama deligasi, beliau berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat mengalu-alukan kunjungan itu.

Menurutnya, hubungan istimewa antara Malaysia dan Arab Saudi telah lama terbina, justeru kunjungan berkenaan amat bermakna bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara terutama melibatkan hal-hal berkaitan haji dan umrah.

“Saban tahun operasi haji Malaysia yang diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) berjalan lancar hasil hubungan erat ini yang telah lama terjalin.

“Pada operasi haji yang lalu contohnya, Malaysia telah sekali lagi menjadi antara negara yang terpilih untuk program “Makkah Route” yang ternyata memberi kemudahan kepada jemaah haji negara.

“Program ‘Makkah Route’ jelas membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Arab Saudi dalam menyantuni para Dhuyufurrahman di seluruh dunia. Justeru Malaysia amat bertuah dan bersyukur kerana terus dipilih untuk menikmati kemudahan ini,” katanya.

Mohd Na’im berkata, pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi baru-baru ini, TH juga telah menerima Anugerah Labbaitom bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam.

“Anugerah ini amat bermakna buat Tabung Haji khususnya dan Malaysia amnya, kerana ia jelas menunjukkan pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi atas keupayaan kita memberi bimbingan ibadat haji, dalam usaha melahirkan jemaah haji yang berilmu dan berdisiplin ketika melaksanakan haji.

“Semoga hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuhkan demi kebajikan para Dhuyurfurrahman setiap tahun, insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

Komen