Menteri Arab Saudi tinjau kursus haji di Malaysia

Menteri Arab Saudi tinjau kursus haji di Malaysia

MENTERI Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah, mengadakan lawatan kerja meninjau pengendalian siri Kursus Asas Haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata dalam lawatan itu menteri berkenaan bersama deligasi diberi taklimat berkaitan operasi dan pengendalian Kursus Asas Haji.

Beliau berkata, kursus berkenaan adalah usaha Tabung Haji untuk memastikan bakal jemaah haji diberikan pengisian ilmu supaya dapat melaksanakan ibadat haji nanti dengan ilmu dan kefahaman.

Menurutnya, kursus ibadat haji adalah merangkumi pelbagai aspek hukum hakam, tatacara termasuk penjagaan kebersihan kendiri dan sebagainya.

“Saya amat berbesar hati kerana Dr Tawfiq Fawzan sudi untuk meninjau sendiri usaha-usaha yang dilakukan oleh Tabung Haji.

“Semoga usaha Kerajaan Malaysia melalui Tabung Haji menjadi contoh kepada dunia khususnya dalam pengurusan jemaah haji,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, lawatan itu turut disertai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar; dan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Abdullah Al-Sulaim.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.

Mohd Na’im berkata, Dr Tawfiq Fauzan bersama delegasi turut dibawa meninjau lokasi operasi haji yang dikendalikan oleh Tabung Haji di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang.

“Beliau telah diberikan taklimat gerak kerja operasi haji setiap tahun yang diurus Tabung Haji.

“Tabung Haji sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Komen