Pembangkang sedia bincang ‘MoU’ dengan kerajaan – Hamzah

Pembangkang sedia bincang ‘MoU’ dengan kerajaan – Hamzah

ISU peruntukan sama rata kepada pembangkang antara yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) ketika Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Perkara itu dibangkitkan dalam celahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta Hamzah menyatakan adakah beliau menerima kemudahan sama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim terima ketika menjadi Ketua Pembangkang sebelum ini.

Turut mencelah, Datuk Seri Sahidan Kassim (PN-Arau) yang bertanya sama ada Ahli Parlimen Larut bersetuju perlunya ada keadilan sosial dalam pengagihan peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.

Menjawab isu yang dibangkitkan itu, Hamzah berkata ia terpulang kepada kerajaan sama ada mereka mahu menjadi adil dalam perkara berkaitan.

“Sama ada adil, tak adil ini terpulang kepada orang yang memegang kuasa, kalau dia pegang kuasa dan nak jadi pemimpin yang adil, dia berlaku adil.

“Tetapi kalau dia memegang kuasa dan merasakan inilah masanya kita nak ajar mereka yang dahulunya menentang atau melawan…itu akan jadi masalahlah,” katanya.

Semasa pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, satu memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) ditandatangani pada September 2021.

Susulan itu, Anwar yang juga Pengerusi PH ketika itu mendapat pelbagai kemudahan setaraf menteri dan antara perjanjian lain adalah peruntukan sama rata bagi setiap Ahli Parlimen.

Sementara itu, Hamzah turut yakin Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun sedang menunggu untuk beliau bertemu dengannya bagi membincangkan mengenai perkara yang dibangkitkan itu termasuk soal peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Saya benar-benar yakin Tambun ni nak tunggu Ketua Pembangkang…’bila lagi kau nak jumpa aku’, saya rasa kalau kita semua bersetuju bahawa dia (Anwar) membuka tangan untuk kita duduk berbicara tentang negara, insya-Allah kita akan lakukan,” katanya. – Malaysiapost

Komen