Pembangkang tetap perjuangkan tuntutan pengeluaran KWSP bersasar – Hamzah
PEMBANGKANG akan berjuang untuk memastikan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak dibenarkan mengeluarkan simpanan dalam usaha membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ramai yang menyuarakan rasa kecewa apabila Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu tidak memberikan apa yang mereka perlukan.
Menurutnya, pengeluaran KWSP secara bersasar perlu dipertimbangkan kerajaan kerana ramai yang memerlukannya ketika ini terutama bagi menyelesaikan hutang tertunggak.
Beliau menjelaskan, dengan memberi contoh membabitkan pencarum yang mencarum secara sukarela.
“Yang sukarela ini sebagai contoh dia memiliki kedai (perniagaan), ketika dia maju dia mencarum dan turut membeli rumah, namun selepas tiga tahun masa pandemik, pendapatannya sudah berbeza seperti ketika dia mampu mencarum sebelum ini.
“Ada kumpulan ini minta buat pengeluaran kerana ketika ini sudah enam bulan tidak bayar hutang rumah hingga bank mahu melelongnya,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, jadi jika tidak bantu kumpulan berkenaan, rumah mereka akan dilelong dan kemudian akan sukar untuk bangun semula bagi mendapatkan kembali aset-aset berkenaan.
“Sebab itu saya pada hari ini nak minta sangat kepada menteri fikirkan satu mekanisme..saya pun tak tahu apa formulanya..tanyalah Pandan (Ahli Parlimen Pandan/Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli) mungkin dia ada formula.
“Cari satu cara, mungkin minta mereka tulis surat tunjuk bukti sudah tidak mampu bayar hutang dan nak keluarkan simpanan KWSP,” katanya.
Beliau meminta agar kerajaan tidak hanya melihat isu pengeluaran itu akan menjejaskan simpanan persaraan pencarum, sebaliknya melihat juga keadaan mereka yang benar-benar memerlukannya.
“Jadi kita jangan ‘pukul keliling’ dan sebab itu kita mencadangkan supaya KWSP (pengeluaran) ini secara bersasar.
“Yang mana boleh beri kita beri. Mengapa kita mesti menghukum mereka sehingga memberikan alasan tunggu nanti bila dah pencen kita bantu. Masa itu dia pun dah nak mati sebab apa? Rumah tak ada dan lebih sempit kehidupannya.
“Rumah dah dilelong daripada M40 menjadi B40..cuba kita fikirkanlah dan di sini kami akan berjuang untuk memastikan supaya KWSP bersasar ini diberikan,” tegasnya.
Jumaat lalu Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2023 di Dewan Rakyat, memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan alternatif kepada pencarum KWSP.
Menurutnya, kerajaan akan mencarum sejumlah RM500 kepada setiap pencarum berusia 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang RM10,000 di dalam Akaun 1 mereka. – Malaysiapost