PN terus suarakan tuntutan pengeluaran KWSP – Wan Saiful
“YANG diminta tidak diberi, yang tak diminta diberi,” kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan menggambarkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.
Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu, mendakwa menerima banyak komen-komen daripada rakyat berhubung belanjawan terbabit.
Menurutnya, antara komen paling banyak adalah mengenai pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar yang masih tidak dibenarkan.
“Ini bagi saya melambangkan kerajaan ini adalah kerajaan yang berfikir di peringkat kayangan..’detach’ (mengenepikan) daripada tuntutan rakyat
“Hari ini saya akan membahaskan belanjawan ini dan saya akan cuba bawa sekali lagi rayuan dan rintihan rakyat berkenaan dengan KWSP bersasar,” katanya dalam satu rakaman video di laman Facebook.
Jumaat lalu Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2023 di Dewan Rakyat, memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan alternatif kepada pencarum KWSP.
Menurutnya, kerajaan akan mencarum sejumlah RM500 kepada setiap pencarum berusia 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang RM10,000 di dalam Akaun 1 mereka.
“Kerajaan beriltizam untuk membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan.
“Oleh demikian, kepada ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang RM10,000 di dalam Akaun 1 mereka, kerajaan bersetuju untuk menambah caruman simpanan KWSP Akaun 1 mereka sebanyak RM500,” katanya.
Menurut Anwar, hampir dua juta ahli KWSP akan menerima manfaat dengan melibatkan peruntukan hampir RM1 billion. – Malaysiapost