Premis makanan di Klang diarah tutup kerana kotor
EMPAT premis makanan di sekitar Bukit Tinggi dan Klang Utara diarah tutup sementara selepas didapati terlalu kotor dalam operasi Kebersihan Premis Makanan (Ops Bersih) oleh Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) minggu lalu.
Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz, berkata operasi berkenaan dijalankan pada 21 dan 22 Februari lalu membabitkan pemeriksaan sebanyak 20 premis makanan.
“Sebanyak 20 premis telah diperiksa dan empat telah diarahkan tutup selama 14 hari kerana kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 62 (1) b Establismen Makanan MPK 2007.
“Manakala 15 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tandas kotor, peti sejuk kotor, dapur kotor dan tiada perangkap minyak,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, terdapat juga premis yang dikompaun kerana pekerja tiada suntikan anti demam kepialu, perniagaan tanpa lesen yang sah serta membuang sisa makanan ke dalam longkang.
Norfiza berkata, operasi berkenaan bertujuan memastikan premis makanan bersih dan selamat untuk dikunjungi orang ramai selain mencegah berlaku kes keracunan makanan.
“Pengusaha makanan berdepan tindakan penutupan premis selama 14 hari di bawah Akta Makanan 1983 sekiranya terdapat kesan hurungan tikus dan lipas serta pengusaha dan pengendali makanan tidak mengamalkan kebersihan diri.
“Orang ramai harus peka dengan tahap kebersihan premis mereka kunjungi dan operasi yang MPK laksanakan ini adalah bukti betapa isu kebersihan sentiasa dalam perhatian,” katanya.
Beliau berkata, MPK tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan kebersihan kerana ia membabitkan nyawa dan pengusaha premis perlu peka dengan kebersihan kedai mereka. – Malaysiapost